Sunday, February 1, 2009

TEBING GAZA

Semenanjung Gaza adalah wilayah kecil Palestin yang menjadi kubu terakhir buat rakyat Palestin mempertahankan hak-hak asasi yang mereka miliki sejak sekian lamanya. Dengan hanya keluasan sebesar 363 km persegi dan penduduk seramai 1.5 juta orang menjadikan daerah kecil ini sangat padat dengan penduduk. Laporan terkini mendapati bahawa lebih 2/3 daripada jumlah penduduk Gaza ini adalah pelarian yang menyelamatkan diri mereka dari wilayah-wilayah Palestin yang telah dijajah oleh Israel sejak tahun 1948 lagi.

Gaza yang seluas sekangkang kera telah dikepung tanpa peri kemanusiaan oleh regim yahudi zionis sejak bulan Jun 2007 yang lalu. Penderaan, penganiayaan dan pembunuhan yang semakin dasyat dari semasa ke semasa ini telah mengakibatkan krisis di Gaza memakin kritikal dan dianggap sebagai krisis kemanusiaan terbesar pada abad ini oleh pelbagai badan dan pertubuhan yang memperjuangkan hak-hak asasi kemanusiaan sedunia.

Sukar untuk dibayangkan bagaimana keadaan sebenar yang terjadi di Gaza pada awal tahun bulan Mac 2008 apabila lebih daripada 120 penduduk Palestin yang tidak berdosa dibunuh secara kejam dalam tempoh hanya 1 minggu. Dalam tempoh 3 bulan (Jan, Feb dan Mac 2008) seramai 300 orang rakyat Palestin telah gugur syahid.

Matan Vilnai yang merupakan Timbalan Menteri Pertahanan Israel memberi amaran kepada penduduk Gaza bahawa mereka akan berhadapan dengan dengan 'Holocaust yang lebih hebat'. Pemilihan perkataan 'Holocaust' oleh pemimpin kanan Israel adalah sangat berterus-terang dan mengejutkan masyarakat dunia antarabangsa. Perkataan 'Holocaust' hampir tidak pernah digunakan oleh Israel melainkan apabila dikaitkan dengan pembunuhan beramai-ramai masyarakat yahudi Eropah oleh Nazi semasa Perang Dunia Ke-2. Perkataan ini sebenarnya telah diterima secara universal yang menjadi sinonim dengan kesukaran dan kesengsaraan yang mereka alami walaupun sebenarnya adalah disebabkan oleh kedegilan dan kedurjanaan mereka sendiri.

Matan Vilnai sebenarnya sangat memehami apa yang beliau perkatakan apabila dia mengancam penduduk Gaza dengan 'Holocaust yang lebih hebat'. Dia bermaksud pembunuhan secara beramai-ramai ke atas penduduk Palestin di Gaza sebagaimana penyembelihan orang-orang yahudi oleh Nazi Jerman atau mungkin lebih hebat dari itu. Ini adalah satu amaran dan ancaman yang sangat merbahaya. Kata-kata mereka ini telah menjelaskan apa yang telah berlaku, yang sedang berlaku, serta apakah yang bakal berlaku seterusnya di Gaza. Ancaman ini ternyata lebih terang daripada maklumat dan berita yang disampaikan oleh mana-mana agensi berita dan pertubuhan antarabangsa.

Sebaik sahaja Matan Vilnai menyampaikan ucapannya yang berbentuk ancaman ini, regim Israel terus menyusun konvoi kereta kebalnya di sekeliling Gaza. Tiada siapa yang tahu secara tepat akan objektif dan kehebatan serangan yang akan dilancarkan tetapi dengan Holocaust sebagai perbandingan, maka malapetaka yang lebih besar dan berpanjangan dijangka akan berlaku di Semenanjung Gaza. Kemungkinan yang berlaku ialah penjajahan semula Gaza, pembunuhan pimpinan masyarakat mereka dan penderaan dan penganiayaan terhadap 1.5 juta rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Sekarang ini semua yang dikatakan oleh Matan Vilnai terbukti. Pada 18 Disember 2008, setelah pemimpin HAMAS mengumumkan tamatnya genjatan senjata. Keesokan harinya bermula serangan rejim Zionis ke atas Gaza. Pada 27 Disember 2008, Israel melancarkan serangan udara yang membunuh 299 penduduk Gaza. Pada 28 Disember 2008, serangan udara Israel memusnahkan bangunan makmal di Universiti Islam Gaza yang merupakan simbol kerajaan HAMAS. Pada 1 Januari 2009, serangan bom Israel membunuh pemimpin kanan HAMAS, Nizar Rayan di Jabalia, Gaza. Pada 2 Januari 2008, serangan udara ke atas masjid menyebabkan 11 orang rakyat Palestin syahid. Pada 4 Januari 2009, 5 orang awam Palestin syahid apabila terkena meriam Israel. Sehingga kini, sudah mencapai angka ribuan yang syahid yang tidak terkecuali dari golongan kanak-kanak, wanita dan orang tua. Sekatan di pintu sempadan Mesir-Rafah menyebabkan bantuan makin sukar disalurkan dan menambahkan lagi kepayahan penduduk di sana.

Kita pasti bahawa bangsa yahudi masih tidak dapat melupakan penderaan, penyembelihan dan pembunuhan beramai-ramai masyarakat yahudi Eropah oleh regim  Nazi Jerman. Kini setelah beberapa dekad berlalu, mereka terus memperingati legasi holocaust secara keagamaan dan terus memperjuangkan hak-hak mangsa holocaust serta keturunannya. Namun, kenapa pula mereka berhasrat untuk mengulangi perkara yang sama atau lebih dasyat daripada Holocaust tersebut kepada rakyat Palestin yang tidak berdosa. Jika dilihat secara menyeluruh, ini sebenarnya adalah perkara-perkara yang membuktikan tentang kebenaran agama Islam, ketentuan Allah S.W.T yang berkuasa atas setiap sesuatu dan wujudnya hikmah disebalik setiap kejadian yang berlaku, membuktikan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W dan ajaran yang terkandung dalam Al-Quran dan Hadis. Akhir sekali, ia mengikatkan kita bahawa petanda kepada janji Allah yang terkandung di dalam Rukun Iman Ke-5, Percaya kepada Hari Kiamat.  

Wassalamualaikum.


No comments:

Post a Comment